Friday, October 7, 2011

Doa ketika sakit - panduan sunnah



Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a bahwa Rasulullah s.a.w apabila hampir ke tempat tidurnya, beliau mengumpulkan kedua telapak tangannya, lalu menghebuskan kepadanya seraya membaca:
a) Surah Ikhlas
b) Surah Falaq
c) Surah Nas
Kemudian menyapu kedua telapak tangan tadi keseluruhan badannya, yakni mana yang tersampai, dimulakan dari kepala dan wajahnya dan mana yang sampai dari badanya, dibuatnya begitu sampai tiga kali.

Berkata Aisyah lagi: Apabila beliau sakit disuruhnya aku membuat semacan itu kepadanya (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kami meriwayatkan Daripada Siti Aisyah r.a. bahwa Nabi s.a.w apabila ada orang yang mengadu sakit, ataupun ada tumbuh bisul atau ada tanda luka, beliau meletakkan hujung jari telunjuknya ke bumi, sebagaimana yang diberitakan oleh Sufyan bin Uyainah perawi Hadis ini, kemudian diangkatnya seraya mengucapkan:Artinya: Dengan nama Allah, tanah bumi kita, dengan air ludah sesama kita, sampai sembuh pesakit kita, dengan izin Tuhan kita.

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud dan lain-lain)
Dalam riwayat lain: Adalah Rasulullah s.a.w. seringkali menjampi dengan mengucapkan:
Artinya: Lenyapkanlah kepayahan daripadanya, duhai Tuhan manusia! Di tanganMulah penyembuhan itu, tiada yang dapat melenyapkan penyakit itu melainkan Engkaulah saja!

Kami meriwayatkan daripada Anas r.a. bahwa dia telah berkata kepada sahabat Tsabit r.a. Mahukah engkau, aku menjampimu dengan jampian Rasulullah s.a.w? Jawab Tsabit: tentu sekali! Maka Anas pun membacakan jampiannya begini:Artinya: Ya Allah, Tuhan manusia, wahai Tuhan yang menghilangkan kepayahan! Sembuhkanlah dia kerana Engkaulah penyembuh, tiada penyembuh lain melainkan Engkaulah saja, suatu penyembuhan yang tiada meninggalkan penyakit. (Riwayat Bukhari)

Kami meriwayatkan daripada Usman Bin Abul-Ash r.a. bahwa dia pernah mengadukan suatu penyakit yang menimpa dirinya kepada Rasulullah s.a.w., maka beliau pun mengatakan: Letakkan tanganmu di tempat yang kau rasakan sakit pada badanmu, kemudian bacalah: Bismillah sebanyak (3 kali), lalu ucapkanlah doa ini sebanyak 7 kali:Artinya: Aku berlindung diri dengan keperkasaan Allah dan kekusaanNya daripada bahaya yang aku temui dan aku takut.

Kami meriwayatkan dengan isnad yang sahih daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Nabi s.a.w. beliau bersabda: Barangsiapa yang menziarahi pesakit yang belum tiba ajalnya, lalu dia mengucapkan doa ini sebanyak (7 kali):Artinya: Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Pemilik arasy yang agung, mudah-mudahan Dia menyembuhkanmu! – melainkan Allah s.w.t. akan menyembuhannya daripada penyakit itu.

Kami meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a. dia berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w :Artinya: “ kesempurnaan ziarah pesakit, iatu hendaklah seseorang kamu meletakkan tangannya ke atas dahi pesakit, atau pada tangannya, lalu menanyakan keadaannya, bagaimana dia?!”

Apa yang diucapkan si pesakit kepala atau demam atau selainnya daripada penyakit Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar para sahabat doa untuk menghilangkan derita sakit dan daripada sakit demam panas, beliau membaca:
Artinya: Dengan nama Allah yang Maha Agung, kami berlindung diri dengan Allah yang Maha Agung, daripada keluhan urat yang berbisa, dan daripada penderitaan panas sakit yang membakar. Hendaklah membacakan (1) Al-Fatihah ke atas dirinya sendiri bila sakit dengan:
(2) Al-Ikhlas
(3) Al- Mu’awwidzatain
Kemudian ditiupkannya pada kedua belah tanganya serta menyapukan ke seluruh badannya, seperti yang telah disebutkan terdahulu dari ini. Kemudian hendaklah dia berdoa untuk menjauhkan bencana dari dirinya.

Makruh mencita-citakan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpa diri Mencita-citakan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpa diri adalah makruh hukumnya, tetapi jika ia takut fitnah terhadap agamanya, Maka mencita-citakan yang demekian adalah harus hukumnya.

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: telah bersabda Nabi s.a.w. Jangan sekali-kali seseorang kamu menginginkan mati kerana sesuatu bahaya yang menimpanya, dan kalau pun dia terpaksa melakukannya, maka hendaklah dia mengatakan:
Maksudnya: Ya Allah, ya Tuhanku! Hidupkanlah aku selama kehidupanku baik bagi diriku, dan wafatkanlah aku apabila wafat itu baik bagi diriku!

Membolehkan seseorang berdoa supaya matinya di tanah suci Diriwayatkan daripada Ummul – Mukminin Hafshah binti Umar r.a. dia berkata: telah berucap Umar r.a.:
Yakni: Ya Allah, ya Tuhanku! Kurnikanlah aku mati syahid pada jalanMu, dan biarlah kematianku berlaku pada negeri RasulMu s.a.w.!- Maka berkata Siti Hafshah kepada ayahnya: Apakah ini boleh berlaku? Jawab Umar: Jika dikehendaki Allah, semuanya akan berlaku

Anjuran melunakkan hati pesakit dengan kata-kata yang menghiburkan
Diriwayatkan daripada Abu sa’id Al-Khudri r.a katanya: telah bersabda Rasulullah s.a.w:
“ Jika kamu datang menjenguk orang sakit, hendaklah kamu melapangkan dirinya darihal ajalnya, kerana yang demekian itu tiada mengubah sesuatu (yang sudah ditakdirkan baginya), tetapi itu akan melunakkan hatinya. (Riwayat Termizi dan Ibnu Majah dengan Isnad dhaif)

Memuji pesakit tentang amalan-amalannya yang baik dan sebagainya Apabila terdapat kebimbangan pada diri pesakit, bolehlah dipuji tentang amalan-amalannya yang baik untuk menghapuskan perasaan bimbang itu daripada dirinya, dan supaya menimbulkan perasaan sangka baiknya terhadap Tuhannya s.w.t.

Diriwayatkan daripad Ibnu Abbas r.a.bahawa dia pernah mengatakan kepada Saiyidina Umar bin Al-Khattab r.a. ketika dia ditikam oleh Abu Lu’lu’ah (orang majusi dari Iran) dan kelihatanya dia sangat mengeluh. Berkata Ibnu Abbas: Wahai amirul Mukminin! Jangan Engkau ingat apa-apa! Engkau telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w dan engkau telah memperelokkan persahabatanmu dengan beliau, kemudian beliau telah meninggalkanmu sedang beliau ridha dengan apa yang engkau lakukan. Kemudian engkau telah bersahabat dengan kaum muslimin, dan engkau telah memperelokkan persahabatanmu dengan mereka, maka jika engkau meninggalkan mereka pun, engkau akan meninggalkan mereka sedang mereka ridha dengan segala perbuatanmu itu…… dan seterusnya. Umar menjawab: memang itu semua daripada kurniaan Allah Ta’ala.

Apa yang dikatakan untuk membuka selera pesakit
Diriwayatkan daripada Anas r.a. dia berkata: sekali peristiwa datang Nabi s.a.w. kepada seorang lelaki yang sedang sakit, lalu beliau bertanya: Apakah engkau perlu apa-apa? Engkau hendak makan kuih? Orang itu menjawab: Saya, wahai Rasulullah s.a.w. Maka beliau pun memintakan kuih untuknya (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnus-Sunni dengan isnad dha’if)
• Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir, dia berkata bahwa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
Artinya: “ Jangan kamu memaksa pesakit-pesakit kamu untuk makan, kerana sesungguhnya Allah memberinya makan dan minum.”
(Riwayat Termizi dan Ibnu Majah- berkata Termizi Hadis hasan)

Para pengunjung kepada pesakit memohon doa daripadanya Diriwayatkan daripada Maimun bin Mahran daripada Umar bin Al-Khattab r.a. dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. :Artinya: “ Jika engkau datang menjenguk pasakit, maka mohonkanlah dia berdoa untukmu, kerana doanya sama seperti doa para Malaikat.”
(Riwayat Ibnu Majah dan Ibnus – Sunni dengan isnad sahih)

Apa yang disebut oleh orang yang tidak ada harapan untuk hidup terus Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a. dia berkata: Saya menyaksikan hari-hari terakhir Rasulullah s.a.w. sedang beliau menghadapi maut, dan di tangannya ada sebuah bekas air, beliau mencelupkan tangannya ke dalam bekas air itu, kemudian disapukan air itu ke wajahnya seraya mengucapkan:
Yakni: Ya Allah, ya Tuhanku! Bantulah aku untuk menghadapi kepayahan-kepayahan maut dan sakaratul-maut. § Dianjurkan supaya dia memperbanyak membaca Al-Quran dan membawa zikir dan wirid. Makruh dia mengeluh, berkelakuan buruk, memaki- maki orang, bertengkar dan bergaduh pada hal-hal yang tiada berkaitan dengan urusan agama.
§ Mensyukuri Allah Ta’ala dengan hatinya dan lisannya, serta mengingat bahwa masa itu adalah detik-detik terakhir dari hayatnya di dunia ini, agar di dapat mengakhiri hayatnya di dunia ini dengan membuat perkara-perkara yang baik.
§ Mengembalikan hak-hak orang kepada orang empunyanya: seperti amanah, wadi’ah dan pinjaman.
§ Meninggalkan pesanan tentang urusan anak-anaknya jika mereka tidak mempunyai datuk.
§ Selalu mengingatkan dirinya dengan membaca ayat-ayat Al-Quran yang menyimpulkan harapan kepada Allah, dan dia membacanya dengan suara-suara yang perlahan-lahan ataupun disuruhkan orang lain membacanya dan dia mendengarnya.
§ Hendaklah dia berusaha mengakhiri detik-detik umurnya itu dengan membuat hal-hal yang sempurna.
§ Bersabar atas sakitnya
§ Berbelas kasihan kepada orang-orang yang ditinggalkannya seperti anak yang kecil, pembantu, jariah dan selainnya.
§ Berpesan untuk meninggalkan apa yang biasa dibuat dari berbagai-bagai bid’ah pada ketika ada jenazah di rumah dan diambil janji tidak akan melakukannya.
§ Dianjurkan supaya dia mengatakan kepada mereka dari masa ke masa kata-
kata ini: Bila kamu mendapati aku mencuaikan sesuatu, maka hendaklah kamu mengingatkan aku tentang kecuaianku.
§ Dan apabila menghadapi nazak hendaklah memperbanyak membaca: Laa Illaaha Illallaah! Supaya menjadi kalimat yang terakhir diucapkan ialah kalimat itu, kerana kami telah meriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal, dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. :
Artinya: Barangsiapa penghabisan bicaranya kalimah Laa Ilaaha Illallaah, niscaya akan memasuki syurga”


Apa yang patut dikatakan sesudah memejamkan mata si mayat
Diriwayatkan daripada Bakar Bin Abdullah, seorang tabi’in yang mulia, dia berkata: apabila engkau memejamkan mata si mayit bacalah:
Yakni: dengan nama Allah dan di atas kepercayaan Rasulullah s.a.w!- Dan jika engkau mengangkatnya bacalah Bismillah lalu bertasbihlah selama engkau masih mengangkatnya.

Apa yang patut diucapkan pada si mayit
Diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Artinya: “ jika kamu menziarahi pesakit atau orang yang mati, maka hendaklah kamu mengatakan yang baik, kerana para Malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan itu.”
Ummi Salamah r.a. meneruskan bicaranya: Apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku segera datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Salamah telah meninggal dunia. Beliau lalu mengajarku katanya, ucapkanlah:
Yakni: Ya Allah, Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan dia, dan gantikanlah dia buatku dengan gantian yang baik! – maka aku pun mengucapkannya seperti yang diajarkannya, lalu Allah telah menggantikan dia buatku dengan orang yang lebih baik daripadanya ( Abu Salamah), iaitu dengan Muhammad s.a.w (Riwayat Muslim)

Apa yang diucapkan tuan rumah yang di rumahnya ada mayat
Diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada seorang hamba yang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengucapkan:
Maksudnya: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah dan kepadaNyalah nanti kita akan kembali. Ya Allah, ya Tuhanku! Berilah aku pahala kerana musibah yang menimpaku ini dan gantikan aku apa yang lebih baik daripadanya! – melainkan Allah Ta’ala akan memberikan pahala atas musibahnya itu dan menggantikan buatnya apa yang lebih baik daripadanya.Berkata Ummi Salamah seterusnya: Apabila Abu Salamah (suaminya yang pertama) meninggal dunia, aku mengucapkan seperti apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka Allah telah mengantikan buatku apa yang lebih baik daripada Abu Salamah. Iaitu Rasulullah s.a.w.

Apa yang diucapkan bila menerima berita kematian sahabat
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w. : kematian itu menakutkan, maka apabila seseorang kamu mendapat berita kematian saudaranya, hendaklah dia mengucapkan:
Maksudnya: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kita akan menghadap. Ya Allah, ya Tuhanku! Catitkanlah dia di sisi Engkau antara orang-orang yang baik, dan jadikanlah catitan amalannya dalam golongan orang-orang yang di tingkat tinggi, dan gantikanlah apa yang baik bagi kaum keluarganya yang ditinggalkan, dan janganlah Engkau haramkan kami dari pahalanya dan jangan Engkau memfitnahi kami sesudah kepergiannya!

Haram melolong ke atas mayat dan mengucapkan cara Jahiliah
Seluruh Ummat sepakat mengharamkan menangis dengan melolong ke atas mayat dan menarik-narik suara seperti dilakukan oleh orang-orang zaman jahiliah, serta menjerit-jerit, tanda tidak rela atas kematiannya dengan mengucapkan kata-kata yang menunjukkan putus asa.

Kami meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. dia berkata: Telah berkata Rasulullah s.a.w:
Artinya: “ Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan pakaian serta berteriak dengan teriakan kaum jahiliah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)Adapun hadis-hadis sahih yang memberitakan bahwa si mayit akan disiksa kerana tangisan kaum keluarganya ke atasnya, bukanlah maksudnya pada maknanya yang zahir dan tidaklah mutlak, tetapi dia mesti ditakwilkan.

Berkata para sahabat kami: Menangis sebelum mati dan sesudahnya adalah harus (boleh), tetapi sebelumnya adalah lebih utama, kerana ada sebuah hadis sahih yang bermaksud: Apabila telah datang kematian janganlah hendaknya ada yang menangis lagi!Imam syafi’I rahimahullah dan para sahabatnya telah menaskan bahwa tangisan sesudah mati itu adalah makruh tanzih (makruh yang dilarang) dan tidak haram. Mereka mentakwilkan maksud Hadis yang berbunyi “ janganlah hendaknya ada yang menangis lagi” sebagai makruh hukumnya saja.

Ditukil dari kitab kumpulan doa dan zikir
“ Al-Adzkar”
Oleh Imam Nawawi
Terjemahan Syed Ahmad Semait

sumber :http://epondok.wordpress.com

No comments:

Post a Comment